Tuesday, June 7, 2011

Menyerang Kepimpinan Melumpuhkan Dakwah



Dakwah merupakan kekuatan besar melawan kezaliman, justeru musuh Islam akan mengerahkan segala tenaga, kekuatan dan kemampuan untuk meleburkan dakwah Islamiah malah sanggup sampai ke tahap membunuh para pendakwah itu sendiri.
Bagi mereka fahaman Michaevelli "matlamat menghalalkan cara" dipergunakan sepenuhnya bagi mengekang dan mematikan usaha dakwah menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dengan apa cara sekalipun. 
Cara paling berbahaya yang digunakan oleh musuh yang licik adalah usaha menimbulkan perpecahan dalaman di dalam sesebuah organisasi dakwah, kerana kekuatan dakwah akan menjadi lemah akibat pergolakan dan perpecahan dalaman disebabkan perbezaan fikrah dan metodologi.
Menimbulkan perpecahan dalaman merupakan teknik yang paling efektif dengan cara menghilangkan thiqah (kepercayaan dan keyakinan) antara ahli jamaah dan pimpinan.
Apabila ahli jamaah sudah tidak memiliki sikap thiqah pada kepemimpinan sesebuah jamaah Islam, maka 'ketaatan (wala')' akan segera hilang dari jiwa mereka. Bila ketaatan sudah hilang, ia akan memusnahkan kemantapan sebuah jamaah.
Al-Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna yang telah menubuhkan Ikhwanul Muslimin menulis tentang 'thiqah' dalam Risalah At-Ta'alim dan menjadikannya sebagai salah satu rukun bai'ah.
Imam Asy-Syahid juga menjelaskan kepentingan rukun ini dalam menjaga perpaduan dan kesatuan jamaah, ia mengatakan:
"...Tidak ada dakwah tanpa kepemimpinan. Kadar thiqah yang timbal balik antara pemimpin dan yang dipimpin menjadi penentu sejauh mana kekuatan sistem jamaah, kemantapan langkah-langkahnya, keberhasilan dalam mewujudkan tujuan-tujuannya, dan kemampuannya dalam mengatasi berbagai tentangan dan kesulitan.
"Ta'at dan mengucapkan perkataan yang baik adalah lebih baik bagi mereka" (al-Qur'an, 47:21). Thiqah terhadap pimpinan merupakan segala-galanya bagi kejayaan dakwah."
Kita tidak mensyaratkan yang berhak mendapat thiqah adalah pemimpin yang berkemampuan sebagai orang yang paling kuat, paling bertakwa, paling mengerti dan paling fasih dalam berbicara kerana syarat seperti ini sangat sukar dipenuhi, bahkan hampir tidak tercapai sejak kewafatan Nabi SAW.
Syarat 'al-Quwwah wal amanah' dalam erti kata yang sebenarnya yang ada pada Nabi Yusuf AS dan Nabi Muhammad SAW sukar dicari. 
Namun memadai sekiranya seorang pemimpin itu dianggap mampu oleh teman-temannya untuk membebani amanah kepemimpinan yang berat ini. Kemudian apabila ada seorang ikhwah (saudara) yang merasai dirinya atau mengetahui orang lain memiliki kemampuan dan bakat yang tidak dimiliki oleh pimpinannya, maka hendaklah ia menyumbang kemampuan dan bakat tersebut untuk dipergunakan oleh pimpinan, agar dapat membantu tugas-tugas kepemimpinannya bukannya menjadi pesaing bagi pimpinan dan jamaahnya. 
Inilah nokhtah penting bagi mereka yang bersaing dalam mana-mana jawatan dalam jamaah Islam, manakala para perwakilan yang terlibat untuk memilih bakal-bakal pemimpin jamaahnya, memilih bakal pemimpin berdasarkan merit 'quwwah dan amanah' bukan disebabkan populariti.
Ingin saya mengimbau kepada dialog yang terjadi antara Abu Bakar RA dan Umar RA setelah kewafatan Nabi SAW.
Umar berkata kepada Abu Bakar, 'Hulurkanlah tanganmu, aku akan membai'ahmu.' Abu Bakar berkata, 'Akulah yang membai'ahmu.'  
Umar berkata, 'Kamu lebih utama dariku.'
Abu Bakar berkata, 'Kamu lebih kuat dariku.'  
Setelah itu Umar RA berkata, 'Kekuatanku kupersembahkan untukmu kerana keutamaanmu.'
Umar pun terbukti benar-benar menjadikan kekuatannya sebagai pendukung Abu Bakar sebagai khalifah.
MasyaAllah, hebatnya ukhuwah dan thiqah mereka antara satu sama lain.
Tatkala seseorang bertanya kepada Imam Al-Banna, 'Bagaimana bila suatu keadaan menghalangi kebersamaan anda dengan kami? Menurut anda siapakah orang yang akan kami angkat sebagai pemimpin kami?'
Imam Asy-Syahid menjawab, 'Wahai ikhwan, angkatlah pemimpin orang yang paling lemah di antara kamu. Kemudian dengarlah dan taatilah dia. Dengan (bantuan) kamu, ia akan menjadi orang yang paling kuat di antara kamu.'
Mungkin anda masih ingat perselisihan yang terjadi antara Abu Bakar dan Umar dalam menanggapi orang-orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Sebagian besar sahabat sependapat dengan Umar, iaitu tidak memerangi mereka. Meskipun demikian tatkala Umar mengetahui Abu Bakar berkeras untuk memerangi mereka, maka ia mengucapkan kata-katanya yang terkenal, yang menggambarkan kethiqahan yang sempurna, 'Demi Allah, tiada lain yang aku fahami kecuali Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk memerangi mereka, maka aku tahu dialah yang benar.'  
Seandainya Umar RA tidak memiliki kethiqahan dan ketaatan yang sempurna, maka jiwanya akan dapat memperdayakannya, bahawa dialah pihak yang benar, apatah lagi dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
'Allah SWT telah menjadikan al-haq (kebenaran) pada lisan dan hati Umar.' 
Alangkah amat perlunya bagi kita sebagai ahli jamaah Islam menyontohi sikap Umar RA tersebut, saat terjadi perbezaan pendapat di antara mereka, Umar RA tidak dipengaruhi oleh pengiktirafan Nabi SAW terhadapnya, malah memberikan ketaatan kepada Abu Bakar RA sepenuhnya.
Melihat kepada betapa pentingnya kethiqahan terhadap fikrah dan ketetapan pimpinan, maka musuh-musuh Islam berusaha sedaya upaya menimbulkan keraguan pada Islam, jamaah, manhaj jamaah, dan pimpinannya. 
Betapa banyak serangan yang dilancarkan untuk melaksanakan misi tersebut. Oleh kerana itu, seorang ahli jamaah di semua peringkat, jangan sampai terpengaruh oleh serangan-serangan tersebut.
Ia harus yakin bahwa agamanya adalah agama yang haq yang diterima Allah SWT. Ia harus yakin bahawa Islam adalah manhaj yang sempurna bagi seluruh urusan dalam kehidupan dunia maupun akhirat.
Ia harus tetap thiqah bahawa jamaahnya berada di jalan yang benar dan sentiasa menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam setiap langkah dan urusannya.
Ia harus tetap thiqah bahawa pimpinannya selalu bercermin dan mencontohi langkah Rasulullah SAW serta para sahabatnya dan sentiasa tunduk kepada syariat Allah dalam menangani persoalan yang mendatang dalam perjalanan  dan perjuangan serta bertindak demi kemaslahatan dakwah.
Ingin diingatkan surat kahbar atau media massa terutamanya yang didalangi oleh musuh dakwah menukil pembicaraan atau pendapat yang dilakukan pada pimpinan jamaah, dengan tujuan untuk menimbulkan keraguan, menggoncangkan kepercayaan, dan menciptakan ketidakstabilan di dalam jamaah Islam.
Oleh sebab itu, seorang ahli atau pemimpin jamaah Islam tidak diperbolehkan menyimpulkan suatu hukum berdasarkan apa yang dibaca dalam media massa, tidak boleh melunturkan thiqahnya dan tidak boleh menyebarkannya atas dasar membenarkannya. Ia harus melakukan tabayyun (cross check) terlebih dahulu.  
Allah SWT menegur segolongan orang yang melakukan kesalahan dengan firman-Nya,
"Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka serta merta menyebarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja di antaramu." (al-Qur'an, 4:83)

Pesanan Untuk Orang Cantik


Setiap orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekekurangannya yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasululluh s.a.w kerana baginda telah ditentukan maksum.
Selebihnya tidak terkecualai daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit san bermacam-macam perkara lagi. Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah malah cacat.
Biar bagaimana keadaan anda, anda tetap unik dan tanpa anda alam ini tidak sempurna.
Memang Allah menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Disitulah berkuasanya Allah. Dia berhak dan mampu berbuat apa saja mengikut kehendak-Nya.
Kita memang tidak ada pilihan untuk mempersoal itu ini, mempertikai itu ini. Anda mungkin berasa rendah hati melihat kekurangan-kekurangan yang ada pada diri anda.
Nah, anggap ia satu kelebihan. Jika anda sangka anda buruk, ia satu kelebihan yang tiada pada orang cantik. Anda sangka kecantikan sentiasa membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu.
Kadang-kadang kecantikan memusnahkan. Setelah anda dikenali sebagai cantik, ketakutan anda terhadap keburukan lebih besar daripada jika anda semulajadinya buruk. Orang cantik fobia menjadi buruk.
Setiap kedutan di wajah akan dirawat dan setiap kedutan begitu menyusahkan dirinya. Saat menjadi buruk pasti tiba, bagaimanakah perasan si cantik meghadapi hari tua mereka? Bukankah rasa susah yang tiada kesudahan?
Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh Allah supaya dia boleh terbang dan menerjah api.
Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat sebanyak-banyak mungkar untuk diberikan balasan setimpal di Akhirat.
Tontonlah filem atau drama-drama di TV. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri. Jika anda buruk setidak-tidaknya anda bebas rasa riak dan takbur.
Penghuni neraka kebanyakkannya wanita sebagaimana disabdakan Rasullah s.a.w wanita itu tentu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan Allah kepadanya.
Dan wanita itu tidak terkecuali juga yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja Tuhan.
Siapakah wanita penghuni syurga itu, barangkali yang cantik dan dia sentiasa faham kecantikan itu ukuran manusia . Cantik pada pandanagn Allah adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan laragan Allah.
Barangkali juga yang buruk tapi dia faham Allah tidak memandang rupa paras tapi apa yang ada di dalam hatinya. Wahai orang cantik, orang buruk, orang rendah, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manuisa selalunya sasar.
Hargai diri anda sebab kewujudan anda mambuktikan kekuasaan Allah!



Masa Akan Menjadi Singkat


Daripada Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda :
"Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat. Maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." [Hadis Riwayat Tirmizi]
Keterangan
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba–tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan- akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan.
Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.
Menurut Imam al–Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu ialah dicabut keberkatan daripadanya.
Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al–Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan.
Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.
Wallahu a'lam...