Thursday, May 12, 2011

" Persoalan iKhtiLat..."


IKHTILAT

Definasi Ikhtilat dari sudut bahasa adalah mencampurkan sesuatu kepada sesuatu yang lain, manakala dari sudut syara'nya ialah pencampuran wanita dan lelaki (samaada persendirian atau berkumpulan). Pencampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka (lelaki dan wanita) bertemu antara satu sama lain,berpandangan dan bertegur sapa. Mengikut takrif Dr. Majid Zindani seorang ulama yaman yang terkenal Takrif Ikhtilat yang dilarang adalah: Perhimpunan lelaki dan perempuan yang terdapat keraguan(perkara yang menjerumus kepada benda-benda yang haram).

Melalui takrif tadi, timbul persoalan, adakah 'ikhtilat' ini dibolehkan oleh Islam atau tidak?

Terdapat 2 pendapat kalangan para Ulama di dalam permasalahan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita.
1. Pendapat pertama mengatakan ianya termasuk di dalam perkara yang dilarang .
2. Manakala pendapat kedua mengatakan ianya termasuk di dalam perkara yang diharuskan.

DALIL-DALIL LARANGAN IKHTILAT
 
Dalil Pertama

Larangan terhadap wanita yang bermusafir seorang diri dengan tanpa ditemani oleh mahramnya dan larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.
Maksud dari sabda nabi:

Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan ia ditemani oleh mahramnya, dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya.
Maksud dari sabda nabi:

Tidak boleh seseorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) bersama seorang perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya.
 
Dalil Kedua

Wanita tidak diwajibkan keluar menyertai jihad.
Dari Aisyah RA katanya: "Aku telah meminta izin daripada Rasulullah untuk
berjihad, lalu Nabi menjawab: "Jihad kamu (kaum wanita) adalah menunaikan haji".
 
Dalil Ketiga

Wanita tidak diwajibkan menghadiri solat jamaah di masjid seperti yang telah disepakati oleh para ulama Fekah.

Ulama berselisih pendapat pada hukum penyertaan wanita di dalam solat jemaah di masjid:

1. Sebahagian ulama berpendapat bahawa makruh ke atas wanita-wanita muda untuk hadir solat berjemaah di masjid.
2. Sebahagian lagi mengatakan ianya adalah harus ke atas wanita-wanita yang sudah berumur (tua).

Namun, pendapat yang paling kuat adalah kaum wanita diharuskan menunaikan solat berjemaah di masjid dengan keizinan dari suami atau walinya dengan syarat:

· Tidak boleh memakai bau-bauan wangi.
· Tidak berlaku percampuran (ikhtilat) antara wanita dan lelaki ketika menuju ke masjid.

Bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' ketika menunaikan solat, kaum wanita diwajibkan bersembahyang di belakang kaum lelaki.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:
Janganlah kamu menghalang wanita kamu untuk hadir ke masjid, namun
rumah-rumah mereka lebih baik untuk mereka.
 

Dalil Keempat

Beberapa hukum-hakam yang dikhususkan untuk kaum wanita

Islam telah mengkhususkan beberapa hukum-hakam untuk kaum wanita ketika menunaikan ibadat haji bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita. Di antaranya, mereka tidak digalakkan menghampiri Ka'abah sewaktu kaum lelaki sedang melakukan tawaf supaya tidak berlakunya 'ikhtilat'. Selain itu, kaum wanita juga diberi rukhsah (keringanan) untuk melontar jamrah pada Hari Nahar (hari penyembelihan) sebelum terbit fajar bagi mengelakkan kesibukan dan 'ikhtilat' bersama lelaki.

Dalil Kelima

Larangan wanita berjalan bersama kaum lelaki di satu jalan yang boleh menyebabkan percampuran (ikhtilat).

Di sana terdapat hadis Rasulullah SAW yang menerangkan bahawa baginda telah melihat percampuran di antara lelaki dan wanita di jalanan, lantas baginda SAW menyuruh para wanita supaya berjalan di tepi jalan bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' di antara mereka.

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan tentang larangan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi 'ikhtilat' yang boleh menimbulkan fitnah.
 
'IKHTILAT' YANG DIBOLEHKAN

Di sana terdapat beberapa jenis 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita yang dibenarkan oleh Islam, terutamanya yang jika ianya berkaitan dengan tuntutan Syara`, keperluan atau yang seumpama dengannya. Malahan Dr Yusuf al-Qardawi pernah berkata : "Perhimpunan antara lelaki dan perempuan adalah tidak haram, malahan ianya harus dan dituntut sekiranya mempunyai tujuan yang baik yang perlu dibuat bersama seperti menuntut ilmu, amal soleh, aktiviti kebajikan, jihad fardu dan sebagainya yang memerlukan penggabungan antara dua pihak."

1) 'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah
'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah yang dibenarkan oleh Syara` seperti urusan jual beli, urusan penghakiman, atau keadaan-keadaan yang memerlukan seseorang wanita itu menjadi saksi dalam sesuatu permasalahan seperti masalah berkaitan harta atau perkara yang berkaitan dengan urusan wanita walaupun pada kebiasaannya urusan-urusan tersebut akan membawa kepada 'ikhtilat'.
Firman Allah maksudnya:

Persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antaramu. Jika tiada dua orang lelaki, maka seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi- saksi yang kamu redhai.

2) 'Ikhtilat' yang berlaku sewaktu menjadi saksi

Seseorang wanita boleh menjadi saksi di dalam kes-kes tertentu yang walaupun berlakunya percampuran sewaktu proses penyaksian sedang berjalan. Dan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa harus bagi kaum wanita menjadi saksi dalam sesuatu kes.

3) 'Ikhtilat' bertujuan melayani tetamu.

Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.

4) 'Ikhtilat' sewaktu peperangan jihad fisabilillah
Para wanita di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat turut serta bersama- sama kaum lelaki pergi berjihad di medan peperangan. Mereka membantu para pejuang seperti memberi minum, merawat kecederaan serta meniupkan semangat jihad kepada para lelaki untuk terus berjuang. Begitu juga diharuskan juga 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita dalam satu perhimpunan mendengar tazkirah serta peringatan yang berkaitan dengan agama.

5) 'Ikhtilat' di dalam kenderaan awam

Adapun wanita terdedah kepada 'ikhtilat' sewaktu menaiki kenderaan awam untuk menyelesaikan sesuatu urusan seperti menziarahi ibu-bapa, sahabat- handai, pesakit, atau membeli keperluan harian, maka 'ikhtilat' seperti ini adalah dibenarkan di dalam syarak.

Perlu diingatkan bahawa bentuk-bentuk keizinan 'ikhtilat' yang telah disebutkan tadi tidak bermakna wanita boleh bebas bercampur gaul dengan kaum lelaki. Ini kerana hukum asal ikhtilat itu sendiri sudah jelas. Oleh para wanita wajib menjaga segala adab-adab dan hukum syara` yang berkaitan dengannya. Para wanita juga perlu ditemani suami atau mahramnya ketika menjalankan urusannya.

Hukum-hukum di atas juga merangkumi hubungan dan pergaulan seseorang wanita dengan kaum kerabat yang bukan mahram seperti sepupu, ipar duai dan seumpamanya. Ramai wanita memandang enteng perkara ini. Contohnya membuka aurat di hadapan sepupu serta tidak menjaga adab-adab wanita Islam dengan berhujah bahawa mereka adalah kaum kerabat dan hubungan kekeluargaan yang amat rapat.

Ikhtilat yang diharuskan oleh Islam hendaklah mengandungi etika-etika dan syarat-syarat seperti berikut:

1. Tidak berkhalwat.

Nabi bersabda:

"Tidak berkahalwat diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram melainkan syaitan menjadi yang ketiga"(HR Bukhari)

2. Tidak ada pandangan yang tidak dibenarkan.

Nabi bersabda:
"Pandangan adalah panahan beracun dari Syaitan"

3. Pakaian yang mengikut cara Islam.

Firman Allah: Dan janganlah wanita itu menunjukkan perhiasnnya melainkan apa yg telah terzahir(muka dan tapak tangan).(Surah -Nur: 31)

Pakaian yang menutup aurat itu hendaklah tidak menampak susuk tubuh yang menimbulkan fitnah dan tidak nipis sehingga menampakkan yang dalam.

4. Percakapan wanita yg tidak lunak.


Firman Allah: "Maka janganlah perempuan melunakkan suara sehingga menimbulkan keinginan lelaki yang mempunyai penyakit hati dan katalah perkataan yang baik-baik."(Surah - Ahzab: 32)

5. Cara wanita berjalan yang tidak menarik perhatian.

Firman Allah: Maka janganlah wanita itu menghentak kakinya supaya diketahui perhiasan yang tersembunyi.(Surah - Nur: 31)

6. Wanita tidak memakai minyak wangi

Mana-mana wanita yang memakai wangian dan berjalan di sekumpulan lelaki maka dia adalah penzina.(HR Tirmizi)

7. Ada sebab dan keperluan yang munasabah.Iaitu kerja-kerja ketaatan dan kebajikan yang memerlukan kebersamaan seperti dlm ayat 71 surah Taubah.

8. Tidak ada pegang dan sentuh antara lelaki dan perempuan.

Nabi bersabda dalam hadis yg sahih:
Lebih baik kamu di tikam kepala kamu dengan jarum besi daripada kamu menyentuh perempuan yang bukan mahram. (HR Thabrani)

Nabi bersabda lagi:Lebih baik seorang lelaki itu bersesak-sesak dengan babi yang berlumuran tanah daripada dia bersesak-sesak bahunya dgn perempuan yang bukan mahram.(HR Thabrani)

9. Perempuan dan lelaki janganlah saling bertembung atau berselisih tubuh.

Nabi bersabda:
Bila kamu bertemu 2 org perempuan janganlah lalu dicelah-celah keduanya.(HR Baihaqi)

Ketika berlakunya percampuran diantara lelaki dan perempuan di masjid, Nabi brsabda: Hendaklah perempuan ke tepi, janganlah kamu ketengah merempuh orang lelaki, jalanlah di tepi.

Alhamdulillah wa syukur lillah. InsyaAllah moga-moga dengan sedikit ilmu ini dapat menjawab segala persoalan mengenai ikhtilat antara lelaki dan perempuan untuk dipraktikkan di dalam kehidupan seharian kita. InsyaAllah selepas ini saya akan berkongsi tentang ikhtilat di alam maya yang saya dapat lihat sering kali diabaikan oleh kita semua termasuklah yang bergelar muslimin dan muslimat, tidak kira yang "berkopiah" ataupun yang "berpurdah". Sekadar perkongsian untuk dijadikan iktibar bersama-sama insyaAllah...

Yang baik itu datangnya daripada Allah swt dan yang buruk itu juga didatangkan oleh Allah swt tetapi disandarkan keatas kelemahan diri saya, seorang hamba yang dhoif ini.

Wallahu'alam...

Wednesday, May 11, 2011

" Selamat Menghadapi Peperiksaan "

Bersempena dengan musim peperiksaan sekarang terutama di universiti dan lain-lain pusat pengajian..saya ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan..buat adik-adik saya, rakan-rakan dan pembaca-pembaca yang sedang atau akan menghadapi peperiksaan.




Semoga apa yang dipelajari dan diulangkaji mudah difahami dan diingati. Moga ketenangan sentiasa berdamping dengan kalian sepanjang kalian membuat persediaan menghadapi peperiksaan.


Di samping kita usaha, sentiasa perbetulkan niat belajar kerana Allah..bagi yang sedang mengikuti bidang seperti biologi, fizik, kejuruteraan, perubatan, guaman, pemakanan, perguruan, kaunseling, sains sosial, sains kognitif, perfileman, fotografi dan lain-lain yang saya tak sebutkan, perbetulkan niat kita belajar kerana Allah..salah satunya sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah..Agar adanya muslim yang berkemahiran dalam bidang-bidang ini di masa depan. Yang nanti akan bersama-sama 'berpimpin tangan' memajukan umat Islam. Bila niat kita betul, usaha kita belajar akan jadi ibadah. Bila niat kita betul, insyaAllah..Allah akan sentiasa membantu kita. Allah sentiasa akan membantu hambanya yang membantu agama Allah. InsyaAllah..


Bila niat kita betul, kita belajar pun akan rasa tenang, InsyaAllah..sebab sentiasa tersemat di minda kita matlamat yang jelas kenapa kita belajar. Matlamat yang lebih murni, matlamat yang bersangkutan dengan akhirat..bukan setakat matlamat dunia semata-mata..Dunia ni sebentar cuma..hanya seperti satu persinggahan..


Seperti antara kata-kata Rasulullah s.a.w dalam satu hadis:


.. “Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan.” 

Manusia, sifatnya takkan pernah merasa puas..contohnya, bila kejar matlamat dunia seperti mahu kerja dengan gaji tinggi, akan mahu gaji yang lebih tinggi..bila dapat gaji lebih tinggi..akan mahu pangkat atau kedudukan yang lebih tinggi..




Bila ada harta banyak..mahu harta yang lebih banyak..bila ada harta yang lebih banyak..begitulah seterusnya..Akhirnya semua tu tak dapat dibawa bersama bila kita mati..




Seperti dalam salah satu lirik nasyid Raihan (Antara Dua Cinta):


"Dunia ibarat air laut, diminum hanya menambah haus"




Dari Ibnu 'Abbas, ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):


“Seandainya manusia diberi dua lembah berisi harta, tentu ia masih menginginkan lembah yang ketiga. Yang bisa memenuhi dalam perut manusia hanyalah tanah. Allah tentu akan menerima taubat bagi siapa saja yang ingin bertaubat.”


(Hadis Riwayat Bukhari no. 6436)




“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah Jariah, atau Ilmu yang memunafaatkannya, atau Anak soleh yang mendo’akan keatasnya”


(Hadis diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari)




Akhir kata, dalam pada kita berusaha jangan lupa jaga kesihatan, makan minum dan kerehatan badan. Hak badan kena bagi juga kan?


Walau apa jua rintangan dan ujian yang dihadapi sepanjang usaha-usaha kita..moga kita terus kuat dan tabah menghadapi rintangan-rintangan dan ujian-ujian tersebut.




Doa saya, moga Allah beri kemudahan dalam urusan pembaca-pembaca sekalian dalam usaha untuk menghadapi peperiksaan..




“Dalam kita berjalan dan berlari dalam lorong kehidupan..mengejar cahaya..


Seringkali kita jatuh..kadangkala berkali-kali kita jatuh..


berapa kali kita jatuh tak penting..apa yang paling penting kita bangkit kembali setiap kali kita jatuh..


tak mampu terus berlari..berjalan..tak mampu terus berjalan..merangkak..


Mungkin kadangkala perjalanan itu terhenti seketika..tapi jangan biarkan ia terhenti selamanya..




kerana matlamat kita di depan sana, tak sanggup dilepaskan begitu sahaja..




di saat kita mampu untuk terus maju ke sana..




Mampukah kita? Usah ragu, kerna diri kita memang diciptakan mampu untuk ke sana..menggapai cahaya..InsyaAllah.."




~Mencari Redha Illahi~

" Selamat Hari Guru..."

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera buat sekalian guru-guru dan bakal - bakal guru di Malaysia.
SELAMAT HARI GURU PADA 16 MEI...

Wahai guruku
Aku tak dapat nak beri sesuatu,
Jasamu tak terbalas olehku,
Mungkin ini terlalu kecil jika dibandingkan,
Tapi ini hanya yang aku mampu,
Untuk mengukir kata-kata di bibirku,
Wahai guruku,
SELAMAT HARI GURU...

Sunday, May 8, 2011

"Bertambahnya Usiaku..."

Tanggal 7 Mei 2011,semalam..maka bertambahlah usiaku... tapi adakah semakin bertambah amal ibadahku? Ya Rabbi, hanya Engkau Yang Maha Mengetahui... Sesungguhnya,
UMUR itu amanah dari Allah, akanku guna sebaik yang mungkin krn akan ditanya ke mana ianya digunakan...Jadi ku bersyukur dengan nikmat umur dgn kebaikan yang Engkau berikan padaku Ya ALLAH!!...

Bila dimuhasabah kembali, banyak lagi yang perlu kulakukan. jasa kedua ibu bapaku belum terbalas lagi. hanya doa sahaja yang mampu ku berikan.. insyaAllah aku mohon padaMu Ya Rabbi, permudahkanlah urusanku dan murahkanlah rezekiku dan juga keluargaku agar diriku dapat membalas jasa kedua ibu bapaku yang telah membesarkanku dan adik beradikku... Betapa sedihnya diriku bila melihat kedua ibu bapaku yang semakin dimamah usia.. Begitu banyak pengorbanan mereka kepada kami adik beradik. Rasanya tidak mampu dibalas dengan wang ringgit. Walaupun hidup kami diuji, tapi,diriku bersyukur kerana diberi kedua ibu bapa yang penyayang dan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia.Alhamdulillah... Aku bersyukur padaMu Ya ALLAH!!..

" Untukmu iBu...Doaku untukMu..."

Hari Ahad ini (setiap Ahad minggu kedua bulan Mei) semua yang bergelar ibu termasuk ibu tunggal diraikan dalam sambutan Hari Ibu. Maka pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu kepada semua ibu. Jasa ibu dalam membesarkan anak ini sungguh tidak ternilai dengan wang ringgit.
Tanpa didikan ibu, anak-anak tidak akan menjadi manusia walaupun rupanya manusia. Kesabaran ibu mendidik anak walaupun dalam keadaan tertekan, berjaya juga membawa mereka ke universiti. Namun jasa ibu itu tidak diminta untuk dibalas oleh anak.
 
Saya sendiri dibesarkan oleh ibu yang amat penyayang. Walaupun dia buta huruf, tidak boleh membaca dan menulis, namun dia diberi keistimewaan boleh membaca al-Quran dengan baik malah boleh mengajar anak kampung bacaan al-Quran dengan baik. Maka berkat didikannya kini saya jadi seperti hari ini. Terima kasih ibu, semoga Allah memberkati dirimu..
 
Sememangnya ibu diberi amanah yang berat, namun mereka tetap terima dengan sabar. Firman Allah yang bermaksud:

“dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; kerana ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman : 14)

Persoalannya, adakah anak-anak hari ini menyedari perintah Allah ini? Adakah anak-anak hari sedar penderitaan ibu yang mengandungnya dalam rahim ibu? Adakah mereka tahu bahawa ibu amat sayang kepadanya hingga sanggup memberi susu ibu sendiri selama dua tahun?
 
Menyedari keadaan ini, saya menyeru kepada semua manusia khususnya yang beragama Islam, anda tentunya ada ibu walaupun sudah meninggal dunia, berbuat baiklah kepada ibu. Dalam hal ini kita kena ingat, kalau ibu sudah tiada, berbuat baiklah kepada orang yang pernah dikasih ibu. Menghubungkan silaturrahim adalah pahala yang amat besar di sisi Allah.
 
Selain itu Allah mahu anak-anak yang bersyukur kepada Allah kerana dengan kurnianya anda berjaya dibesarkan oleh ibu bapa tanpa cacat celanya. Oleh sebab itu, syukur jugalah kepada kedua-dua ibu bapa anda terutama ibu yang banyak terlibat secara langsung dalam membesarkan anda. Dalam hal ini Allah terus mengingatkan anak-anak dalam firmannya yang bermaksud :


Maksudnya: “dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-Mu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’ : 23)
 
Tuhan perintahkan manusia dalam ayat di atas pastinya merujuk kepada anak supaya menyembah Tuhan iaitu Allah, dan pada masa yang sama berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Berbuat baik tentunya dalam tempoh membesar dan setelah berkeluarga
.
Tetapi Allah pesan lagi dengan sedikit penekanan, apabila sampai kepada kamu suatu tahap yang kedua-dua ibu dan bapa sudah tua, atau salah satu daripada keduanya, maka janganlah berkata kepada kedua-duanya “uppin”. Mungkin dalam konteks orang Melayu, “Uh” “Ah” dan seumpamanya.
 
Allah ingatkan manusia kerana Allah tahu, akan ada manusia yang bersikap suka menengkin ibu apatah lagi sewaktu tua. Jadi, ingatan ini amat berguna buat anak-anak seperti saya, walaupun ibu sudah tiada. Oleh sebab itu, buatlah yang terbaik untuk ibu. Ingatlah kalau hari ini kita derhaka kepada ibu, esok anak anda pula akan menjejaki sikap anda. Lalu dia juga akan menderhakai akan anda.

Tindakan anak soleh
Di sini saya menyenaraikan tindakan wajar yang patut dilakukan oleh anak terhadap ibu mereka.
1. Mentaati perintah ibu
 
Sebagai anak anda wajib mentaati perintah ibu berdasarkan ayat di atas. Malah Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang masyhor:
الجنة تحت اقدام الامهات
Maksudnya: Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Maknanya untuk menikmati syurga anak perlu mengikut langkah dan rentak ibu. Apa yang dikata dan apa yang disuruh perlu diikut. Namun ketaatan itu hendaklah pada perkara yang tidak menderhakai Allah. Sabda Rasulullah:
لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Allah.
Maknanya jika ibu menyuruh anak mencuri barang orang atau menyuruh anaknya menyebarkan fitnah, maka perkara itu tidak boleh ditaati. Tetapi perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud anak boleh menentang ibu. Malah anak tidak boleh memusuhi ibu. Sebaliknya anak perlu memberi alasan yang islami mengapa dia tidak boleh mentaati perintah ibu itu.
Ingatlah ibu tetap ibu walaupun mereka terdiri daripada orang yang pernah derhaka kepada Allah. Walaupun anak tidak boleh mentaati ibu dalam perkara maksiat, tidak bermakna si anak boleh mengisytiharkan perang terhadap ibu. Jadi, perkara baik yang disuruh tetap wajib ditaati, hanya perkara yang bercanggah dengan Islam sahaja yang patut diabaikan.

2. Berdoa untuk ibu
Berdasarkan ayat 24 Surah al-Isra’ di atas, si anak wajar mendoakan ibunya semasa hidupnya apatah lagi selepas dia mati. Sabda Rasulullah:
اذا مات ابن الادم انقطع عمله الا ثلاث، صدقة جارية،
علم ينتفع به، وولد صالح يدعوله
Maksudnya: “Apabila mati anak Adam terputus amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”
Namun tiga perkara di atas banyak bergantung kepada usaha ibu semasa hidupnya. Kalau ibu banyak buat sedekah yang berupa wakaf, tentu faedahnya berkekalan, kalau ibu ada mendidik anaknya dan anak orang lain dengan ilmu yang berfaedah atau dia menghasilkan buku yang boleh dimanfaatkan orang lain, tentulah manfaatnya berpanjangan. Begitu juga kalau anaknya soleh, pasti dia mendoakan ibunya baik waktu hidup mahu waktu matinya.

3. Tidak menyakitkan hati ibu
Anak tidak boleh menyakitkan hati ibu walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun anak tidak suka kepada tindakan ibu, tidak bolehlah bertindak menyakitkan hatinya. Carilah jalan yang boleh membuatkan ibu sentiasa gembira. Ingatlah sabda Rasulullah yang antara lain bermaksud: “Keredaan Allah s.w.t. ada dalam keredaan ibu bapa, dan murka Allah ada dalam kemurkaan ibu bapa.”

4. Tidak menyusahkan ibu
Anak juga tidak wajar menyusahkan ibu dalam apa tindakan. Kadang-kadang anak tidak sedar bahawa tindakannya boleh menyebabkan ibu menjadi susah hati. Permintaan yang bukan-bukan juga boleh menyebabkan ibu rasa susah untuk mendapatkannya. Kalau ibu orang yang berada, bolehlah dia mengadakannya, namun hati ibu tetap tidak senang. Apatah lagi kalau ibu orang yang miskin.
 
Berdasarkan senarai ini saya dapati pengorbanan ibu yang begitu besar, jarang dihargai. Anak-anak sering mengabaikan ibu, apatah lagi sesudah tua. Oleh sebab itu amat wajarlah hari ini disambut sebagai Hari Ibu. Setidak-tidaknya anak yang terlalai seketika dapat dikejutkan semula. Walaupun dalam Islam, mentaati, menghormati dan mengasihi ibu perlu dibuat setiap hari, tetapi realitinya tidak begitu. Oleh sebab itu mulai hari ini kasihilah ibu dan kekalkanlah dalam keadaan itu sehingga ke akhir hayat.
 
Ingatlah pesanan Rasulullah, tiga keadaan umat manusia yang mereka tidak akan masuk syurga iaitu orang yang membuat dosa kepada ibu bapa, orang yang tiada cemburukan anak atau isterinya bertemu dengan orang laki-laki (yang bukan mahram), dan orang perempuan yang (berpakaian) menyerupai laki-laki. Wallahu aklam.

" Apabila Diri Diuji, Dimana Kesabaran..."

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikir semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pulak! Memikirkan diri sendiri dan Ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.
Ha. Begitulah hidup kita dalam dunia ini. ALLAh sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba ALLAh jika tidak menerima ujian yang ALLAh berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.
Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir, dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.
Ujian Allah = Kasih-Sayang Nya
Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah SWT, perlu kita ingat.. Ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah SWT itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin deh! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah SWT turunkan, ada kebaikan akhirnya.. Cuma, mahu tidak mahu saja untuk kita berfikir.
Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga.. suatu penyakit yang Allah SWT turunkan. Itu semua adalah kasih-sayang Allah SWT.. Allah sebenarnya nak mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah nak bagitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.
Apabila ujian datang menimpa.. Kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu. Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia.. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.
Sabar : Orang-orang Yang Hebat
Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang, yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang, akan mendapat semangat dari perkataan sabar yang disebut oleh orang lain. Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.
Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati.. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah SWT. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang Muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.
Pesanan buat diri saya sendiri.. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.
Allah SWT tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih-sayang melalui pandangan rahmatNya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, inshaAllah. Percaya dan yakinlah dengan Allah SWT. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.
Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihampas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.
Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah.. Menangislah.. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hambaNya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.
Kita Semua Adalah Pejuang
Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah…. Perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah SAW dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah SWT.
Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak.. Dan semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa. Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.
Pejuang Hidup Kerana Berjuang!
Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuang. Seorang pejuang tidak boleh berputus-asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia yang Maha Mengetahui. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus – asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada Anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.
Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini ; haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para Malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang dijalan perjuangan ini.
Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu.. Aku wajib! Kerna, aku hanya mendambakan redha Allah.. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga. Allah~

~Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~
Semoga Allah merahmati.