Tuesday, August 16, 2011

‎~ Nuzul Al-Quran Mengubah Sikap Muslim~


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nurbererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Wednesday, August 10, 2011

Fasa Ke-2 Bulan Ramadhan ( Fasa Pengampunan )


Tanpa disedari, waktu berjalan begitu pantas dan kita sekarang telah berada difasa ke-2 bulan Ramadhan iaitu fasa pengampunan (maghfirah).
Bagi mereka yang terlepas peluang untuk mengaut imbuhan pada fasa pertama (rahmat), maka bersegeralah bangkit semula untuk mengejar dan mengambil peluang dengan sebaik-baiknya pada fasa ke-2 ini.
Marilah kita memperbanyakkan doa memohon keampunan dari Allah pada waktu ini. Ini adalah bonus yang diberikan Allah kepada kita dan janganlah kita melepaskannya. Banyakkan membaca doa ini :
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا
Allahumma innaka ‘afuuwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annaa
Maknanya : Ya Allah, sesungguhnya engkau amat pemaaf, menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami....
Terjemahan perkataan :
اللَّهُمَّ  (Allahumma) – Ya Allah
إِنَّكَ  (innaka) – sesungguhnya engkau
عَفُوٌّ (‘afuuwun) – pemaaf
تُحِبُّ (tuhibbu) – menyukai
  العَفْوَ (al-’afwa) – kemaafaan
 فَاعْفُ (fa’fu) – maka maafkanlah
عَنَّا (‘annaa) – dari kami
Ayuhlah kaum muslimin dan muslimat sekalian, kita melipatkali gandakan amalan pada bulan Ramadhan ini dan meneruskannya pada malam 10 terakhir dan semoga amalan baik yang kita lakukan pada bulan Ramadhan ini menjadi titik permulaan perubahan ke arah kebaikan untuk diri kita semua demi mencapai keredhaan Allah seterusnya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat yang kekal abadi...