Thursday, January 13, 2011

" Pentingnya Persediaan Sebagai Seorang Guru.."

Persediaan Guru

Sebelum mengajar Al-Quran, setiap orang guru haruslah maklum bahawa mengajar Al-Quran mempunyai maksud yang luas, bukan sekadar boleh membaca sahaja, malah banyak lagi perkara lain yang mesti diberi perhatian dan pertimbangan supaya pengajaran dan pembelajaran benar-benar bermakna bagi pelajar. Antaranya ialah: 
1. Guru harus sedar bahawa mengajar Al-Quran bukan sahaja bermaksud pelajar boleh menyebut huruf dan membaca Al-Quran, tetapi memupuk perasaan cinta kepada Al-Quran serta menjadikan hati mereka jinak dengan Al-Quran. 
2. Guru harus mampu memperdengarkan bacaan Al-Quran yang baik dan fasih sehingga boleh menimbulkan perasaan khusyuk, tenang dan lega bila mendengarnya. Dengan demikian menimbulkan minat kepada pelajar untuk terus mendengar bacaan Al-Quran. Memang naluri manusia suka mendengar suara atau bunyi yang merdu, kerana bunyi yang merdu itu boleh menambat hati dan memberi kesan kepada jiwa. Oleh kerana guru tidak mampu memperdengarkan suatu yang merdu dari Al-Quran, maka menjadikan pengajarannya hambar dan tidak menarik. Ini menyebabkan pelajar tidak berminat kepada Al-Quran, lantas mereka mencari bunyi-bunyian lain yang dianggap lebih merdu, walau pun kita tidak menganggapnya merdu serta tidak pula harmoni, malah dalam banyak hal, berdosa pula.
3. Memastikan pelajar mendapat suatu yang baru daripada maksud Al-Quran yang dibaca. Ini menimbulkan minat untuk selalu menghadiri kelas Al-Quran kerana ada sesuatu yang ia dapat. 
4. Guru haruslah mengulang-ulangkan tentang kelebihan belajar Al-Quran. Kelebihan-kelebihan ini bukan sahaja untuk tujuan kesejahteraan di akhirat, tetapi di dunia pun telah dapat dikecapi dan dinikmati.
5. Guru harus ingat bahawa Al-Quran ialah kalam Allah yang Qadim. Bacaannya ibadat, dan mesti dibaca dengan betul, terang dan fasih mengikut bahasa Arab yang standard. Kesalahan membacanya dikira salah dan haram. Jadi guru harus mencuba sedaya belajar Al-Quran dan boleh membacanya dengan baik, kemudian cuba sedaya yang mungkin untuk mendidik pelajar supaya mereka dapat membacanya dengan baik dan tidak melakukan kesalahan bacaan pada masa akan datang. Kesalahan yang tidak dibetulkan itu menyebabkan pelajar melakukan kesalahan yang serupa berpanjangan hingga ke akhir hayatnya.
6. Guru mesti menunjukkan cara yang betul dan jelas untuk menyebut huruf-huruf Al-Quran (makharijil huruf dan sifatnya) dan yang lain-lain yang berkaitan dengan hukum bacaan seperti dengung (ghunnah), panjang (mad), pendek dan sebagainya. 
7. Tegaskan dari semasa ke semasa bahawa Al-Quran merupakan perlembagaan bagi orang Islam. Ia adalah kitab Petunjuk, pembimbing dan pembeda antara yang baik dan buruk. Oleh itu pelajar harus diberi peringatan bila membaca Al-Quran, bahawa kita sedang membaca peraturan Allah s.w.t.. Kita akan amalkan apa yang diperintahkan dalam ayat berkenaan.
8. Al-Quran bukan sahaja memberi panduan dan petunjuk kepada semua manusia, tetapi secara terus mendidik akhlak orang yang beriman. Jadi apabila berjumpa ayat-ayat berkenaan tegaskan kepada pelajar bahawa inilah ajaran Al-Quran. 
9. Setiap peristiwa yang disebutkan dalam Al-Quran ada hubungan dengan kehidupan harian, jadi, guru harus mampu menghubungkaitkan dengan kehidupan harian pelajar. Dengan demikian barulah pelajar faham bahawa Al-Quran bukan untuk masa dahulu, tetapi ia sentiasa hidup dan menceritakan apa yang dilakukan oleh manusia sekarang. 
10. Guru mestilah berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Sekiranya akhlak guru bertentangan dengan Al-Quran, maka ini menjadikan pendidikan Al-Quran tidak berkesan. Lebih malang lagi, menjatuhkan maruah guru atau rendah nilai peribadi guru pada pandangan pelajar, dan ini menyebabkan pelajar tidak menghormati guru.

1 comments:

Unknown said...

=)

Post a Comment