Tuesday, October 12, 2010

( Bahagian 1 Bab 4) ماذا يعني انتمائي للإسلام؟


Bab 4
Saya Mestilah Bersifat Seorang Muslim Terhadap Keluarga Saya

Sebenarnya apabila saya telah menganut agama Islam, saya wajib menjadi seorang pendukung risalah ini di dalam kehidupan bahkan saya wajib menjadikan seluruh kehidupan saya mematuhi segala arahan risalah ini.
Maka apabila anutan saya terhadap Islam mewajibkan saya menjadi Muslim di dalam sudut kejiwaan, akidah, ibadah dan akhlak maka kewajipan yang sama juga menuntut saya berusaha menjadikan masyarakat yang saya hidup di dalamnya sebagai masyakat muslim.
Adalah tidak memadai dengan saya menjadi muslim seorang diri sahaja sedangkan orang-orang di sekeliling saya tidak dihiraukan, kerana di antara kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia (jika ia telah benar-benar beriman) ialah ia merasai tanggungjawabnya terhadap orang lain dengan mengajak dan menasihati mereka dengan Islam serta ghairah mengambil berat ke atas mereka sebagai realisasi dari amaran Rasulullah:
من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Yang bermaksud:
"Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam maka ia bukan dari golongan mereka".
Bertitik tolak dari sinilah menyusulnya satu tanggungjawab ke atas saya, iaitu tanggungjawab menegakkan masyarakat Islam dan tanggungjawab menyampaikan Islam kepada masyarakat.
Langkah pertama dari tanggungjawab ini dan merupakan langkah yang bersifat tabii dalam usaha ini, saya mestilah jadikan rumah-tangga saya sebuah rumah-tangga muslim. Saya mestilah menyampaikan risalah Islam kepada "masyarakat kecil saya" yang terdiri dari ahli-ahli keluarga saya, isteri-isteri saya, anak-anak saya, seterusnya kepada kaum kerabat saya yang dekat dan inilah cara yang dilakukan oleh Rasulullah di permulaan dakwahnya. Firman Allah:

فَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا ءَاخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ(213)وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ(214)وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa. 214- Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. 215- Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (Surah Al-Syu'ara' 26: Ayat 213-215).
Dari penjelasan di atas nyatalah bahawa tanggungjawab seorang muslim selepas tanggungjawab ke atas dirinya sendiri ialah tanggungjawab terhadap ahli keluarganya, rumah-tangganya dan anak-pinaknya. Berdasarkan dalil firman Allah:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah Al-Tahrim 66: Ayat 6)
4.1- Tanggungjawab Sebelum Berumah-tangga.
Untuk membantu saya menjayakan usaha membina sebuah rumah-tangga yang baik, Islam telah menunjukkan beberapa anasir dan sebab-sebab yang memudahkan tanggungjawab dan pencapaian matlamat pembinaan rumah-tangga saya. Di antaranya ialah:
  1. Saya mestlah memastikan perkahwinan saya adalah kerana Allah atau dengan kata lain membina rumah-tangga muslim, untuk melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ
    "Satu keturunan yang sebahagiannya (turunan) dari yang lain" (Surah Ali-Imran 3: Ayat 34)
  2. Saya mestilah menjadikan tujuan perkahwinan saya adalah untuk menjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertakwa kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ثلاثة حق على الله عونهم المجاهد في سبيل الله والمكاتب الذي يريد الأداء والناكح الذي يريد العفاف
    "Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka. Pertama: Orang yang berjihad pada jalan Allah. Kedua: hamba mukatab (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayaran dan ketiga orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya". (Hadis riwayat Al-Tirmizi).
    Dan sabdanya lagi yang bermaksud:
    من تزوج فقد استكمل نصف دينه فليتق الله في النصف الباقي
    "Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertakwalah ia pada separuh yang lain".
    (Hadis riwayat oleh Al-Tabrani Fil-Ausath)
  3. Saya mestilah memilih bakal isteri yang baik kerana dengannyalah saya berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: تخيروا لنطفكم فإن العرق نزاع وفي رواية دساس وفي رواية فأنكحوا الأكفاء أنكحوا إليهم
    "Pilihlah untuk keturunanmu (wanita yang baik) kerana sesungguhnya keturunan itu menjadi pertikaian. Dalam satu riwayat yang lain dikatakan: Keturunan itu menjadi desas-desus". Dalam satu lagi riwayat yang lain disebut: "Hendaklah engkau berkahwin dengan orang sekupu dan kahwinkanlah (anak-anakmu) dengan yang sekupu.
  4. Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: لا تزوجوا النساء لحسنهن فعسى حسنهن أن يرديهن ولا تزوجوهن لأموالهن فعسى أموالهن أن تطغيهن ولكن تزوجوهن على الدين ولأمة خرماء خرقاء ذات الدين أفضل
    "Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana bole jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan hodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama". (Hadis riwayat Ibnu Majah)
  5. Saya mestilah berhati-hati supaya tidak menyalahi perintah Allah dalam urusan ini, kerana takut kemurkaan dan seksaan Allah. Kerana mengingati amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
من تزوج امرأة لعزها لم يزده الله إلا ذلا ومن تزوجها لما لها لم يزده الله إلا فقرا ومن تزوجها لحسبها لم يزده الله إلا دناءة ومن تزوج امرأة لم يرد بها إلا أن يغض بصره ويحصن فرجه أو يصل رحمه بارك الله له فيها وبارك لها فيه
"Sesiapa yang mengahwini wanita kerana memandang kepada kemuliaan (kedudukannya) sahaja, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya melainkan dengan kehinaan, sesiapa yang berkahwin kerana hartanya, Allah tidak akan menambahnya kecuali kefakiran, sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya Allah tidak akan menambahnya kecuali kerendahan tetapi sesiapa yang mengahwini wanita kerana menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya (dari perkara haram) atau kerana menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkatinya dan isterinya".

4.2- Tanggungjawab Selepas Berumah-tangga.
Sebenarnya pemilihan bagi mendapatkan isteri yang baik oleh saya tidaklah bererti terlepasnya tanggungjawab terhadapnya selepas perkahwinan. Malah tanggungjawab yang lebih besar segera bermula sebaik sahaja saya berumah-tangga. Di antara tanggungjawab tersebut diperturunkan seperti berikut:
  1. Saya mestilah berlaku baik terhadapnya dan memuliakan dalam hubungan muamalah untuk membina jambatan saling mempercayai di antara saya dengannya sebagaimana Rasulullah bersabda: خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
    "Orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik perlakuan terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik perlakuan terhadap isteri".
    Dan sabda Rasulullah s.a.w:
    أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم أخلاقا وألطفهم بأهله
    "Orang-orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik akhlaknya dan berlemah-lembut terhadap isteri mereka".
  2. Hubungan saya dengan isteri tidak seharusnya terbatas kepada hubungan di tempat tidur dan melepaskan keinginan syahwat sahaja. Malah hubungan antara kami itu mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasih sayang. Kami sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari 'ibadat bersama-sama turut mengatur urusan rumah-tangga dan meluangkan waktu tertentuuntuk bergurau-senda dan bermanja.
    Dalam urusan 'ibadah Allah s.w.t berfirman:
    وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
    Maksudnya:
    "Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya..." (Surah Taha 20: Ayat 132)
    Dan firman Allah:
    وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا
    Maksudnya:
    "Dan ia (Nabi Ismail a.s) memerintahkan ahlinya mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan ia adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya". (Surah Maryam 19: Ayat 55)
    Dalam hal bermesra dengan isteri, Rasulullah s.a.w pernah berlumba-kejar dengan Aisyah r.a. Manakala dalam hal membantu urusan rumah-tangga, baginda melakukan banyak kerja, di antaranya baginda menjahit serta memperbaiki kasut.
  3. Selain dari perkara-perkara di atas, seluruh hubungan saya dengan isteri saya mestilah tidak terkeluar dari batas-batas syariat, tidak menjatuhkan nama baik Islam dan tidak tercebur ke dalam hal-hal yang haram kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberi amaran:
ما من أحد يطيع امرأة في ما تهوي إلا كبه الله في النار
"Tidak ada seorang yang tunduk menurut kehendak wanita melainkan Allah mencampakkannya ke dalam neraka".
Rasulullah juga bersabda:
لا يلقي الله أحد بذنب أعظم من جهالة أهله
"Seorang itu tidak menemui Allah dengan membawa dosa yang sangat besar dari kejahilan isterinya".
Sabda baginda lagi:
تعس عبد الزوجة
"Celakalah orang yang menjadi hamba isterinya".


4.3- Tanggungjawab Bersama Dalam Mendidik Anak-anak.
Sebenarnya kejayaan dalam perkahwinan dengan memilih isteri yang salihah dan membentuk pasangan suami-isteri yang serasi dengan acuan Islam merupakan saham yang sangat besar dalam membantu melaksanakan pendidikan Islam kepada anak-anak. Sebaliknya kegagalan perkahwinan dan tersalah pilih bakal isteri adalah punca kepada keburukan dan keruntuhan ke atas rumah-tangga seluruhnya.
Apapun pertentangan yang berlaku dalam kehidupan suami isteri akan memberi kesan secara langsung ke dalam pendidikan anak-anak dan jiwa mereka. Ekoran dari ini sebahagian dari sifat-sifat kekusutan jiwa dan penyimpangan akan diwarisi pula oleh anak-anak. Oleh yang demikian anasir yang pertama yang dapat menjamin terlaksananya pendidikan secara Islam ke atas kanak-kanak ialah melaksanakan perkahwinan menurut yang dianjurkan oleh Islam.
Pada hakikatnya hasil yang diharapkan dari sebuah rumah-tangga Islam ialah melahirkan keturunan yang salih seperti firman Allah:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya:
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Surah Al-Furqan 25: Ayat 74)
Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan bersih (fitrah). Ia akan menjadi seorang yang salih bila mendapat pendidikan yang baik. Sebaliknya jika ia hidup membesar dalam suasana keluarga yang terpesong dan menyeleweng ia juga akan turut terpesong dan menyeleweng sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
يولد الولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan bersih (fitrahnya) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Muttafaqun 'Alaih)
Oleh sebab itu Islam memandang berat dalam urusan mendidik anak-anak serta menggesa supaya mencari sebab-sebab, norma-norma serta udara yang baik untuk menjamin terlaksana tarbiah yang baik. Rasulullah bersabda:
لأن يؤذب الرجل ولده خير له من أن يتصدق به بصاع
"Seorang yang mendidik anaknya (dengan baik) adalah lebih baik dari bersedekah dengan secupak". (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi).
Rasulullah juga bersabda:
ما نحل والد ولد من نحل أفضل من أدب حسن
"Tidak ada satu pemberian bapa terhadap anak-anak yang lebih dari adab yang mulia".
Sabda baginda lagi:
أكرموا أولادكم وأحسنوا أدبهم
"Berlaku pemurahlah kepada anak-anakmu dan bentuklah mereka dengan akhlak yang mulia".
Sabda Rasulullah s.a.w:
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
"Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amalan (dari dia) kecuali tiga (kebaikan): Sedekah jariah (yang ikhlas), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang salih yang mendoakan (kebaikan) untuknya".

0 comments:

Post a Comment