Tuesday, October 12, 2010

Bicara DeNgan TuHan...





Setiap apa yang Dia ciptakan, tiada apa yang sia-sia. Aku percaya dan benar-benar yakin. Biar sebesar zarah, semuanya akan dihitungkan. Kebaikan dibalas dengan kebaikan. Kejahatan pula dibalas setimpal dengannya. Allahu, sungguh hanya Dia yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Biar setitis airmata mengalir membasahi pipi. Semuanya terjadi hanya dengan keizinan-Nya. Apa yang ada di dalam dada, mahu pun terlafaz oleh bibir, semuanya dalam pengetahuan-Nya. Allahu. Sungguh Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Berbicara dengan-Mu, tiada batas waktu mahupun sempadan masa. Setiap detik dan saat, Kau sentiasa ada untukku. Biar susah, biar senang, Engkau sentiasa bersamaku. Maha Mengetahui lagi Maha Agung.

Dewasa ini airmataku sering tumpah saat kita berbicara. Atau, apakah aku hanya bicara sendiri? Apakah Kau masih sudi berbicara dengan ku? Mendengar luahan dan rintihanku? Mendengar bisikan dan jeritan batinku. Tuhan, sungguh banyak dosaku pada-Mu. Sungguh banyak khilafku pada-Mu. Terlalu banyak penyesalan yang bersarang di dalam dadaku. Banyak sungguh aku menzalimi diriku sendiri. Betapa besarnya dosa-dosaku pada-Mu.

Apakah masih ada ruang keampunan dan kemaafan buatku?

 

Airmata ini datang dan pergi semahunya. Tanpa pintaku. Tanpa sempat aku mengusir. Ah..
Airmata ini airmata penyesalan. Airmata dosa. Airmata duka dan sendu seorang hamba yang pernah mengkhianati Tuhannya. Sungguh penyesalan itu terlalu perit untuk aku tempuhi. Terlalu pahit untuk aku telan. Terlalu panas untuk aku genggam. Aku hampir tewas.

Oh Tuhan, aku ingin berbicara dengan-Mu. Kerana aku tahu Kau Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dengarlah suara hatiku ini... Ampunkanlah dosa-dosaku. Pimpinlah aku menuju jalan-Mu yang benar.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku."


Surah Al-Qasas : Ayat 16

0 comments:

Post a Comment