Saturday, February 12, 2011

Islam adalah agama yang hidup

Terdapat sesetengah remaja menghubungkan agama terhadap sesuatu yang silam. Islam dianggap sebagai suatu tradisi. Yang tradisional itu ialah yang sudah berlalu. Lalu yang sudah berlalu itu dianggap sudah ketinggalan.
Apalagi bila dihubungkan dengan zaman moden atau pasca-moden, agama ditanggapi sebagai tidak relevan.
Islam tidak boleh disamakan dengan ajaran agama atau falsafah lain terutama yang direka oleh manusia. Islam sifatnya samawiyat iaitu diturunkan dari langit oleh Allah s.w.t. Ia tidak saja mempunyai suatu sistem kepercayaan tetapi juga mengatur cara hidup. Ia membina sistem kepercayaan tentang alam nyata dan alam ghaib. Yang nyata dan yang ghaib menyebabkan berlakunya kehidupan.
Kehidupan yang Islami bergerak atas pola akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Pola-pola utama kehidupan manusia berputar atas asas ini. Tanpa aqidah manusia tidak akan ada asas menghubungkan dirinya dengan Yang Ghaib dan tiadalah asas Penciptaan. Dengan akidah juga membina keyakinan manusia bahawa Allah bersifat Rahman dan Rahim terhadap hamba dan makhluk-Nya. Dengan akidah tauhid manusia percaya bahawa Allah itu tidak ada sekutunya melainkan Dialah yang Satu-Satunya.
Dengan ibadah manusia memiliki jiwa hamba yang tinggi. Jiwa hamba mendidik manusia menjadi patuh, taat, akur dan tunduk. Perkara-perkara lain dalam alam semuanya patuh atas asas Sunnatullah.
Planet dan cekerwala, sistem solar dan bimasakti semunya bergerak atas asas ketentuan dan ketaatan terhadap Penciptanya. Darinya lahir ketertiban dan keteraturan. Dengan ibadah manusia memiliki jiwa rukuk dan sujud. Jiwa rukuk dan sujud mendidik manusia patuh dan taat kepada titah-perintah Allah. Darinya kehidupan menjadi teratur dan tersusun seumpama tertibnya alam ini.

Melalui syariah terdapat maksud had dan batasan. Had dan batasan membolehkan landasan hidup berada di tempat yang betul. Tanpanya, manusia boleh menyimpang dan melampaui batas. Kerosakan yang berlaku terhadap manusia sepanjang sejarahnya akibat manusia alpa tentang batas akal, had nafsu, upaya hati dan jangkauan fikir. Kerosakan oleh manusia memberi jejasan terhadap yang lain.
Natijah akhir dari akidah yang mantap, ibadah yang berterusan, dipandu oleh syariah yang teguh bakal menghasilkan akhlak yang baik. Akhlaklah yang menjadi buah iman dan takwa.
Akhlak juga menjadi cerminan manusiawi insan. Manusia dirujuk kekuatan akhlaknya kerana ia adalah pancaran rohani yang tinggi. Sesuatu yang sifatnya rohaniah tidak saja sifatnya kedalaman. Rohaniah terpancar menerusi akhlak yang baik. Tulus dan telus, jujur dan ikhlas, adil dan bijaksana, amanah dan tanggungjawab adalah pancaran rohaniah seseorang.
Sifatnya mempengaruhi dan memberi kesan terhadap tingkahlaku dan perbuatan seseorang. Hidup secara rohaniah menghubunghkan diri dengan Pencipta. Dari Allah manusia dijadikan dengan sebaik-baik ciptaan dan kepada Allah dipertontonkan sebaik-baik kelakuan.
Islam ialah agama yang bersifat ajaran. Darinya lahir usaha dakwah dan tarbiah. Fokus dakwah dan tarbiah ialah kepada insan. Al-Quran tidak turun kepada gunung-ganang, batu-batan dan pokok-pokok. Ia turun kepada manusia yang dikurniakan akal dan hati.
Akal membolehkan manusia berfikir dan hati memandu manusia menimbang. Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia dan mereka yang muttaqin. Darinya manusia mengetahui kisah-kisah silam hidup untuk dijadikan pedoman hidup masakini dan hari depan. Ibrah sebegini amat penting bagi manusia kerana kisah mengulangi jejak.
Maksud ajaran Islam ialah memperkasa manusia supaya terus berada dalam fitrah. Fitrah manusiawi atas landasan akidah yang mantap, ibadah yang berterusan, kepatuhan kepada syariah bakal membentuk pekerti atau akhlak yang mulia.
Manusia yang berada dalam keadaan fitrah sifatnya semasa dan sezaman. Meski ruang dan waktu berubah, fitrah manusia tetap kekal dan tidak berubah. Manusia akan rosak sekiranya faktor zaman merubah fitrah.
Al-Quran umpamanya, mengaturkan prinsip pergaulan dan sosialisasi antara remaja terutama yang bukan mahram. Prinsip itu adalah sesuatu yang fitrah. Remaja suka berkawan dan berkomunikasi.
Faktor syarak mengaturkan remaja jalan dan jalur komunikasi supaya remaja tidak melampaui batas. Maqasid syariah antaranya bertujuan menjaga agama dan keturunan supaya remaja terus berada dalam keadaan fitrah.
Apabila berlaku pergaulan dan sosialisasi yang melampaui batas mahram, remaja tidak lagi berada dalam keadaan fitrah. Atas dorongan hawa nafsu, remaja mungkin bergaul lepas bebas tanpa batasan. Bila nafsu merajalela berlakulah sesuatu di luar batasan. Ia boleh mendorong kepada zina dan perlakuan-perlakuan yang seumpamanya. Ia boleh menyebabkan lahirnya anak diluar nikah. Diwujudkan prinsip pergaulan dalam Islam bertujuan untuk menjaga agama dan keturunan. Amalan zina adalah merosakkan agama dan keturunan.
Islam juga mengaturkan manusia supaya menikmati seni dan keindahan. Sama ada ia lagu, lirik , rentak dan gerak, prinsip Islam menganjurkan manusia batasan supaya manusia tidak lalai dan lupa. Maksud keindahan dalam Islam mendekatkan manusia kepada kebesaran Pencipta. Melihat alam yang terbentang luas, cahaya matahari dihujung petang, kicau burung diwaktu pagi, desir angin di banjaran gunung, debur ombak di kaki pantai terkandung rasa harmoni yang tinggi antara yang dicipta dengan inderawi manusia.
Apresiasi manusia tentang faktor alamiah menyebabkan manusia rasa terusik. Rasa terusik itu boleh menyebabkan manusia semakin dekat kepada Pencipta. Ini kerana semua yang terlihat, terdengar, terasa datangnya dari kekuasaan Allah. Apa yang direka dan digubah oleh manusia cuba mendekati tahap harmoni Ilahi untuk membimbingnya menjadi insan yang kuddus kepada Pencipta. Itulah puncak seni hamba dan Penciptanya.
Para remaja harus menginsafi bahawa Islam membawa perubahan pada zaman bukannya zaman membentuk prinsip Islam. Fitrah manusia harus selari dengan fitrah zaman. Islam adalah agama yang hidup. Ia bukan agama yang ketinggalan zaman. Takdirnya zaman menjadi rosak, manusia hanyut dengan faham kebendaan dan nafsu nafsi yang melampau, Islam tidak boleh menurutinya.
Zaman yang harus mematuhi prinsip Islam. Kerosakan yang ditanggung oleh remaja Islam hari ini akibat pendewaan terhadap zaman yang dibawa oleh budaya Barat umpamanya cuba disesuaikan dengan prinsip Islam. Budaya Barat tegak atas pedoman manusiawi yang nafsu-nafsi menyebabkan fitrah remaja menjadi rosak.
Akibatnya sesetengah remaja menuduh Islam ketinggalan zaman kerana tidak mengikut perubahan sedangkan perubahan yang dibawa oleh budaya Barat boleh menjerumuskan remaja kepada muflis diri dan muflis akhlak.
Islam mempedomankan remaja supaya terus berada dalam fitrah. Pemikiran sedemikian membolehkan remaja mengolah dengan kreatif terhadap sesuatu dengan dipandu oleh ajaran Islam yang membimbing remaja supaya terus berada dalam fitrah. Inilah keindahan Islam, mengaturkan manusia supaya berada dalam fitrah dan melakukan sesuatu selari dengan fitrah manusiawi.
Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

0 comments:

Post a Comment