Thursday, February 17, 2011

KISAH NABI SYUAIB A.S.

Allah SWT mengangkat Nabi Syuaib AS menjadi Nabi dan mengutus beliau ke negeri Madyan. Kejahatan yang dilakukan oleh penduduk Madyan tidak hanya melakukan kesyirikan tetapi juga penipuan dalam timbangan dan takaran serta penipuan dalam soal muamalat dan mengurangi hak-hak orang lain. Nabi Syuaib AS mengajak mereka untuk beribadah hanya kepada Allah SWT saja dan melarang mereka melakukan perbuatan syirik. Beliau juga mengingatkan agar sentiasa berlaku adil dan jujur dalam bermuamalat serta tidak merugikan orang lain.
Nabi Syuaib AS juga mengingatkan kaumnya tentang kurniaan yang telah Allah SWT limpahkan kepada mereka berupa rezeki yang melimpah ruah. Nabi Syuaib AS juga mengancam dengan azab di dunia sebelum azab yang lebih besar di akhirat kelak. Namun kaumnya menolak seruan itu sambil mengejek beliau.
Allah SWT berfirman: “Mereka berkata: “Hai Syuaib! Apakah solatmu menyuruhmu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami. Sesungguh kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal.” (QS Hud: 87)
FirmanNya: “Syuaib berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezeki yang baik. Dan aku tidak berkehendak mengerjakan apa yang aku larang kamu daripadanya. Aku tidak bermaksud kecuali perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.” (QS Hud: 88)
Kemudian beliau mengancam mereka dengan siksaan yang pernah menimpa umat-terdahulu dan tinggal di sekitar mereka. Firman Allah SWT: “Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Saleh, sedang kaum Luth tidak jauh (tempatnya) dari kamu.” (QS Hud: 89)
Beliau meminta kepada mereka agar bertaubat dan membangkitkan keinginan mereka untuk bertaubat. Nabi Syuaib AS berkata sebagaimana firman Allah: “Dan mohonlah ampunan kepada Tuhan kalian kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguh Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.” (QS Hud: 90)
Namun semua seruan itu tidak diendahkan sedikitpun. Firman Allah SWT: “Mereka berkata: Hai Syuaib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu, tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamupun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.” (QS Hud: 91)
Dan firman Allah SWT:Syuaib menjawab: Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah, sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.” (QS Hud: 92)
Dan ketika kaumnya mengancam kekerasan mereka beliau berkata: “Dan (dia berkata): Hai kaumku, berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab, sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu.” (QS Hud: 93)
Kemudian Allah SWT mengirimkan rasa panas yang hebat kepada mereka yang menyumbat pernafasan mereka sehingga mereka hampir tercekik kerana kedahsyatannya. Kemudiannya Allah SWT mengirimkan awan dingin yang menaungi mereka lalu beramai-ramai bernaung di bawahnya. Setelah mereka berkumpul di bawah awan tersebut, tiba-tiba muncullah nyalaan api yang hebat yang membakar mereka hingga merekapun mati dalam keadaan mendapat azab kehinaan.
Wallahu a’lam.

0 comments:

Post a Comment